Takaful Insurans Yang Lebih Menjimatkan & Murah

on Friday 10 January 2014

Insurans, takaful lebih  murah, mudah
Kadar peruntukan minimum pelihara kepentingan pengguna

Bank Negara Malaysia (BNM) menerbitkan kertas konsep Rangka Kerja Insurans Hayat dan Takaful Keluarga yang bakal membolehkan pengguna akses kepada produk insurans hayat dan takaful dengan mudah serta pada kos lebih rendah. 

Menerusi rangka kerja itu, orang ramai boleh membeli produk perlindungan iaitu perlindungan bertempoh, perubatan dan kesihatan dan penyakit kritikal tanpa perlu membayar komisen ejen menerusi saluran langsung seperti di kaunter dan dalam talian. 


peruntukan minimum bagi produk berkaitan pelaburan yang mana kadar premium khusus yang dibayar pemegang polisi untuk diperuntukkan kepada unit dana bagi tujuan pelaburan dipastikan terlebih dulu sebelum sebarang pemotongan caj dibuat. 


Untuk polisi satu tahun hingga tiga tahun, kadar peruntukan minimum ialah 70 peratus; empat hingga enam tahun (80 peratus); 7-10 tahun (90 peratus) dan 11 tahun ke atas (100 peratus).

BNM dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam berkata, rangka kerja itu mengandungi inisiatif bagi menyokong tahap penembusan insurans dan takaful yang lebih tinggi sejajar dengan peralihan Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Mengikut rangka kerja itu, syarikat insurans hayat dan takaful keluarga akan mempunyai fleksibiliti operasi yang lebih luas untuk mendorong inovasi dan produktiviti yang lebih tinggi.

Kepentingan pengguna dijaga 
Di samping itu, lebih banyak saluran akan diwujudkan untuk menyediakan produk insurans hayat dan takaful keluarga kepada orang ramai dan pada masa sama kepentingan pengguna terus dijaga dengan memelihara manfaat yang diperoleh pemegang polisi.

Usaha pendidikan pengguna serta kualiti perkhidmatan dan piawai penzahiran juga akan ditingkatkan daripada kalangan pengantara insurans dan takaful bagi menggalakkan pemerkasaan pengguna.

“Rangka kerja ini akan mempercepatkan penghasilan lebih banyak pilihan saluran penyampaian. Ini akan dicapai melalui rasionalisasi struktur insentif antara saluran, sambil memberikan pilihan kepada pengguna untuk membeli produk perlindungan semata-mata menerusi saluran langsung yang cekap dari segi kos, termasuk di kaunter dan saluran dalam talian.


Had biaya dimansuh

“Selain itu, keperluan minimum kewangan dan kelayakan untuk penasihat kewangan akan disemak semula bagi meningkatkan golongan penasihat kewangan dalam industri insurans dan takaful,” katanya.

Mengikut BNM, had ke atas kemudahan pembiayaan yang disediakan untuk ejen oleh syarikat insurans dan takaful akan dimansuhkan bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada syarikat insurans dan takaful dalam menyokong perkembangan profesional ejen, terutama ejen baru. 

Ia kemudian akan disusuli dengan keperluan bagi syarikat insurans dan pengendali takaful untuk meningkatkan amalan profesional pengantaranya secara proaktif dengan memberikan lebih penekanan terhadap kesesuaian produk, kualiti khidmat nasihat dan perkhidmatan, serta produktiviti, dalam membangunkan dan melaksanakan skim imbuhan pengantara, katanya.

Akses mudah pelanggan

Bagi memudahkan pelanggan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi, jumlah kolektif produk dalam talian khas akan diperkenalkan untuk membantu mereka membuat perbandingan produk perlindungan semata-mata daripada pelbagai penyedia. 

Katanya, akaun insurans dalam talian juga akan diperkenalkan untuk memberikan akses yang mudah kepada pelanggan untuk mengetahui status polisi mereka.

“Inisiatif ini akan terus diperkukuh melalui program pendidikan dan kesedaran kewangan yang disasarkan bagi melengkapkan pelanggan dengan pengetahuan, kemahiran dan instrumen yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang tepat,” kata BNM. 

Orang ramai, peserta industri, pengantara insurans dan takaful dan pihak berkepentingan yang berkenaan digalakkan untuk memberikan maklum balas secara bertulis mengenai kertas konsep rangka kerja itu. 

Kertas konsep boleh dimuat turun daripada laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my dan tarikh akhir penghantaran maklum balas dan komen adalah pada 9 Disember ini.

Semua maklum balas boleh dihantar kepada communication@bnm.gov.my.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Insurans Kereta Murah All Rights Reserved